Tempat duduk Muhyiddin di Dewan Rakyat berubah

Ismail-Mohamed_muhyiddin_600

TEMERLOH: Tempat duduk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam Dewan Rakyat akan dipindahkan ke kawasan blok bebas pada penggal persidangan Oktober ini ekoran pemecatannya daripada Umno.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said berkata Muhyiddin dicadang diletakkan di blok sama dengan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Bagaimanapun keputusan pertukaran tempat duduk itu akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, katanya.

“Pada masa ini pembahagian kedudukan wakil rakyat di dalam Dewan Rakyat dibahagikan kepada tiga iaitu blok BN, blok pembangkang dan blok bebas.

“Kelazimannya mana-mana wakil rakyat yang keluar atau dipecat daripada sesuatu parti akan diletakkan di kawasan blok bebas,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup tadarus Al-Quran bagi peserta lelaki kawasan Parlimen Kuala Krau di Masjid An-Nur di sini hari ini.

Turut hadir Adun Jenderak dan Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Pahang Senator Norehan Abu Bakar.

Ismail yang juga ahli Parlimen Kuala Krau berkata tempat duduk Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih kekal memandangkan beliau hanya digantung daripada parti.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Muhyiddin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir daripada Umno berkuat kuasa serta merta kerana melanggar disiplin parti.

BERNAMA