Tiada demo, DAP rancang jelajah seluruh negara

dap_prote_sprm_6001

KUALA LUMPUR: Tiada rancangan untuk menganjurkan tunjuk perasaan jalanan membantah dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kata DAP.

Keputusan itu diambil meskipun sokongan meluas rakyat Pulau Pinang yang berhimpun di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada malam Guen Eng ditangkap.

“Saya nampak wanita Melayu berpelukan dan menangis. Saya nampak lelaki Melayu berkopiah berpelukan dan menangis. Tak pernah saya saksikan sesuatu seperti ini.

“Kita tak anjurkan perhimpunan itu. Mereka datang atas kehendak sendiri kerana mereka tahu kerajaan negeri ini kerajaan yang bersih. Mereka tahu bagaimana rasanya hidup ditadbir kerajaan bersih.

“Jadi, walaupun kami tak panggil mana-mana orang untuk turun ke jalanraya dan menunjuk perasaan, jangan pandang rendah kespontanan orang awam,” kata Guan Eng di ibu pejabat DAP Pusat hari ini.

Jawatankuasa Kerja Pusat DAP memutuskan untuk membentuk satu jawatankuasa kebangsaan untuk menganjurkan jelajah “Sokong, Simpati dan Solidariti untuk Lim Guan Eng” ke seluruh negara.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata jelajah itu mahu menjelaskan kepada rakyat dakwaan terhadapnya cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaaan Pulau Pinang.

Jelajah itu juga akan menarik perhatian rakyat kepada skandal kewangan yang dikaitkan pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya, tambah Guan Eng.

Beliau akan bertemu semua perwakilan DAP Pulau Pinang di Kompleks Dewan Sri Pinang Ahad ini pada jam 10 pagi untuk melancarkan kempen itu.

Guan Eng didakwa dibawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana membenarkan permohonan perlingkungan semula tanah milik syarikat Phang Li Koon, Magnificent Emblem Sdn Bhd; dan Seksyen 165 Kanun Keseksaaan kerana membeli hartanah pada harga bawah nilai pasaran.

Ramai pihak mempertahankan Guan Eng, menganggap dakwaan terhadap pemimpin DAP itu sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan mengenakan pendakwaan politik terhadap penentang.