Kejadian tembak di ibu negara tiada kaitan pengganas – KPN

tembak_polis_600

NILAI: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan kejadian tembak di Batu Caves dan Cheras serta letupan bom di Subang Jaya ada kaitan dengan pengganas.

Sebaliknya, beliau menegaskan semua insiden yang berlaku itu mempunyai sebab tertentu.

“Sebagai contoh kejadian di Batu Caves, siasatan kita mendapati terdapat dua orang cuba memeras ugut pembunuh…pembunuh juga mati.

“Dua orang itu memeras ugut pembunuh itu dengan menyamar kononnya sebagai anggota polis dan apabila diketahui mereka itu bukan anggota polis, apabila berjumpa dia tembak dan begitu juga yang berlaku di Cheras ada sebab tertentu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden tembakan yang dilihat kerap terjadi kebelakangan ini serta insiden letupan di Subang Jaya, masing-masing di Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdahulu Khalid menyampaikan sumbangan kepada 36 orang balu, asnaf dan pelajar tahfiz Kampung Gebok, Mantin dekat ini dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Nurul Iman.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Datuk Jaafar Mohd Yusof serta anggota PDRM Negeri Sembilan.

BERNAMA