KPDNKK: Tidak salah menggunakan tanda harga satu sen

Hamzah-Zainudin_bajet_price_1600

LARUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menganggap penggunaan tanda harga barangan yang memaparkan syiling satu sen tidak menjadi satu kesalahan namun akan berbincang semula dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ini kerana tidak ada akta yang melarang penggunaan syiling satu sen pada harga barang.

“Isu duit syiling satu sen yang kini tidak digunakan lagi adalah sesuatu polisi yang dibuat oleh BNM dan ia tidak kena mengena dengan KPDNKK.

“Walau bagaimanapun oleh kerana terlampau banyak rungutan dalam kalangan pengguna terutama di pasar raya, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk berbincang semula dengan BNM tentang isu syiling satu sen ini,” katanya dalam sidang media selepas Program Tadarus al-Quran di Masjid al-Karauwi di Batu Kurau dekat sini, hari ini.

Seramai 600 wanita menyertai program tadarus bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari ini.

Beliau mengulas lanjut laporan sebuah akhbar tempatan berhubung KPDNKK dan BNM masih buntu untuk menyelesaikan isu tanda harga yang membabitkan nilai satu sen dan bundar kepada sen terdekat berikutan syiling satu sen sudah tidak ada
di pasaran.

Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata penggunaan syiling itu juga akan dikira dalam cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut beliau, isu berkenaan timbul kerana pengguna tidak dapat menerima apabila pasar raya meletakkan tanda harga syiling satu sen pada barangan mereka.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan BNM untuk selesaikan isu ini dan saya tidak boleh umumkan sehingga perbincangan diadakan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata beliau telah meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya memastikan bekalan tomato mencukupi menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Katanya, ini kerana terdapat aduan bahawa bekalan tomato tidak mencukupi di pasar kerana pemborong menghantar ke luar negara.

“Saya harap kementerian berkenaan melihat isu ini supaya dapat tentukan bekalan tomato mencukupi di pasaran,” katanya sambil menambah bekalan barangan keperluan lain termasuk ayam dan daging adalah mencukupi di pasaran.

Bernama