MCA, Gerakan bantah DAP memperguna duit rakyat

Chong Sin Woon

PETALING JAYA: MCA dan Gerakan membidas kempen kutipan derma DAP untuk mengumpul dana RM1 juta bagi membayar ikat jamin Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak beretika memandangkan Guan Eng mampu membayar wang ikat jamin itu sendiri.

“Kes ini berkaitan rasuah dalam pembelian hartanah peribadi dan penyelewengan kuasa Guan Eng. Tindakan mengheret seluruh anggota DAP dalam isu ini menunjukkan beliau seorang pemimpin yang mementingkan diri.

“Guan Eng sanggup menggadaikan imej parti sendiri untuk agenda peribadi. Bahkan, salah guna dana parti untuk kempen RM1 juta ini adalah muslihat Guan Eng untuk membangkitkan kemarahan rakyat yang tidak bersalah,” katanya kepada FMT, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon berpendapat kutipan wang derma itu hanyalah kempen politik bertujuan untuk memainkan emosi rakyat.

“Itu nyata satu kempen politik yang bertujuan untuk memainkan emosi rakyat, mengalihkan fokus kes mahkamah yang membabitkan tuduhan rasuah Lim Guan Eng dan seterusnya mahu rakyat menjadi hakim yang menentukan Lim Guan Eng tidak bersalah,” katanya.

Baginya, DAP sepatutnya mendapatkan bukti kukuh untuk membersihkan nama Guan Eng dan bukannya terus mempolitikkan isu ini.

Manakala, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang pula mempersoal apakah yang akan berlaku kepada wang-wang dari penderma sekiranya wang jaminan dikembalikan.

“Saya rasa ini tidak wajar kerana ini adalah kes peribadi Guan Eng. Apa yang akan berlaku kepada duit tersebut apabila wang jaminan dikembalikan. Adakah ia akan dikembalikan kepada pihak penderma?” soalnya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membenarkan ikat jamin RM1 juta kepada Guan Eng dengan seorang penjamin.

Manakala, ahli pernigaan Phang Li Khoon yang turut dituduh bersama Gaun Eng pula dikenakan jaminan RM200,000.

Semalam, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata sebanyak RM1,009,000 berjaya dikutip sejak kempen derma awam itu dilancarkan.