Muhyiddin nafi hadiri ‘Nothing to hide 2.0’ anjuran JMM

muhyiddin

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak terlibat dalam program “Nothing to Hide 2.0” yang dijadualkan esok, malah tidak pernah menerima sebarang jemputan daripada pihak penganjur.

Pegawai Khasnya, Datuk Nardin Awang berkata demikian merujuk kepada hebahan program “Nothing to Hide 2.0” pada Ahad 3 Julai 2016 bertempat di Kelab Darul Ehsan anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang kononnya melibatkan Muhyiddin sebagai tetamu jemputan.

“Adalah dimaklumkan Muhyiddin tidak pernah menerima sebarang jemputan daripada pihak penganjur atau menyatakan persetujuan kepada mana-mana pihak untuk menghadiri program tersebut,” katanya.

Tambahnya, program itu dipercayai palsu dan hebahan mengenainya dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengelirukan orang ramai dan mencemarkan nama baik Muhyiddin.

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd. Salleh pula berkata, pihaknya telah menghantar jemputan kepada Muhyiddin dan Khairuddin Abu Hassan.

“Program berjalan seperti biasa. Ada jemput (Muhyiddin), Presiden JMM Azwanddin Hamzah dan Khairuddin Abu Hassan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Hamdan mengakui program anjuran JMM ketika ini sedang diperhatikan secara rapat oleh pihak-pihak tertentu dan berada dalam keadaan ‘panas’.

“Esok kita jumpa, sebab dalam dua tiga hari berita ini panas dekat Pandan dan Ampang,” jelasnya.

Manakala, Presiden JMM Azwanddin Hamzah menegaskan program itu akan tetap diteruskan walau apa jua.

“Program akan diteruskan seperti yang dirancang dan telah dipersetujui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita akan jalankan, jemputan telah diberikan,” katanya.

Program ‘Nothing to hide 2.0’ itu akan berlangsung esok di Kelab Darul Ehsan (KDE) Ampang, Selangor pada jam tiga petang.