Pelakon veteran Aziz Singgah meninggal dunia

aziz singah

PETALING JAYA: Pelakon veteran Datuk Abdul Aziz Singah, 75, meninggal dunia akibat kanser di kediamannya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dekat sini malam tadi.

Anak keduanya Ruzaimei Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Bob Singah memberitahu Bernama jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan sebelum solat Zohor di Tanah Perkuburan Kampung Bongek, Rembau, Negeri Sembilan hari ini.

Arwah dikatakan meninggal dunia kira-kira pukul 11.10 malam Jumaat di samping keluarga selepas dibawa pulang ke kediaman ekoran berada dalam keadaan nazak semasa dirawat di Pusat Kanser Negara, Putrajaya.

Kira-kira sejam berada di rumah, arwah menghembuskan nafas terakhir, lapor Mstar.

Allahyarham akan dimandikan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) kira-kira pukul 8 pagi Sabtu dan akan dikebumikan di tempat kelahirannya di Kampung Bongek, Rembau Negeri Sembilan sebelum solat Zohor pada Sabtu.

Penggiat seni yang popular pada era 1980-an ini pernah membintangi beberapa drama dan filem seperti PJ Holding, Sate, Maria Mariana dan Impian.

Allahyarham juga pernah menjadi Presiden Persatuan Seniman Malaysia.