Sendiri mau ingat, Perkasa beritahu Guan Eng

Ibrahim-Ali_Lim-Guan-Eng_600

KUALA LUMPUR: Perkasa hari ini berkata sama ada letak jawatan atau tidak terpulang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, susulan dakwaan rasuah.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, sebagai seorang pemimpin Guan Eng perlu memikirkan sendiri apa seharusnya beliau lakukan.

“Terpulang kepada dia (Guan Eng) sebagai Ketua Menteri, dia kena pertimbangkan sendiri tidak perlu tunggu orang lain desak. Dia sendiri kena fikir sama ada perlu meletakkan jawatan atau tidak.

“Kerana setiap tindakan yang beliau lakukan ketika ini rakyat sedang menilai,” ujarnya dalam sidang media, di pejabat Perkasa, hari ini.

Katanya, beliau bukanlah sesiapa untuk mendesak Guan Eng meletakkan jawatan atau tidak.

“Kalau dia berpendapat perlu meletakkan jawatan, maka dia perlu meletakkan jawatan. Kita nak kata patut letak atau tidak tidak wajar, kerana siapa saya hendak suruh dia letak jawatan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, beliau sendiri akan menjelajah ke seluruh negara bagi meninjau pendapat sama ada Lim Guan Eng patut bercuti atau meletakkan jawatan selaku ketua menteri Pulau Pinang

SPRM telah menahan Guan Eng dan Mahkamah Tinggi George Town telah memutuskan wang ikat jamin sebanyak RM1 juta terhadapnya.

Guan Eng yang tidak mengaku bersalah telah dituduh atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.