Tak tahan kritikan, jangan jadi ahli politik -Dr M

mahathir

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah terlepas daripada menerima pelbagai cacian dan gelaran yang menjatuhkan maruah dan martabat dirinya sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri, namun tidak pernah ambil sebarang tindakan terhadap semua itu.

“Saya digelar Firaun, mahazalim, diktator dan sebagainya. Saya tidak ambil apa-apa tindakan terhadap mereka, saya tidak mengancam mereka, saya tidak meminta polis menyoal mereka.

“Saya tidak menangkap, menahan dan caj mereka kerana menjadi seorang pengganas, mensabotaj sistem perbankan Malaysia dan mensabotaj ekonomi Malaysia,” kata Dr Mahathir dalam muat naik terbaru di blognya, hari ini.

Bekas Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun itu turut menyatakan, sepanjang keberadaanya, beliau tidak pernah sekalipun mengancam untuk mengambil tindakan saman malah langsung tidak pernah menyaman sesiapa.

Sebelum ini, Mahathir telah disiasat oleh pihak polis atas jenayah fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan ekoran mengeluarkan kenyataan yang menyamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan diktator Uganda, Idi Amin.

Idi Amin adalah Presiden Uganda yang memerintah dari tahun 1971 hingga 1979. Beliau dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia, rasuah dan pembunuhan.

“Saya pernah dan sememangnya seorang ahli politik. Disumpah, dipanggil nama, dipertuduhkan rasuah atau nepotisme, diminta meletak jawatan, potret-potret saya diroboh.

“Semua ini sememangnya sudah dijangkakan. Jika tidak boleh tahan dengan ini, maka jangan jadi ahli politik,” jelas Mahathir.

Bukan itu sahaja, Dr Mahathir mendakwa polis ketika ini digunakan untuk menahan dan memberi tekanan kepada masyarakat.

Menurutnya, polis sepatutnya digunakan untuk melindungi masyarakat dan rakyat daripada kesalahan jenayah.

“Di Malaysia nampaknya kita percaya ‘parti saya, bos-bos saya yang selalunya betul, tetapi parti saya, bos-bos saya betul atau salah’

“Kita melihat satu perbuatan yang salah yang dilakukan atas nama profesionalisme dan disiplin. Pihak yang sepatutnya menjadi pelindung kini sudah menjadi penindas,” katanya.