Terengganu tanggung kos bedah plastik mangsa simbah asid

Ahmad-Razif-Abdul-Rahman_lecur_

HULU TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju menanggung kos pembedahan plastik mangsa simbah asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 14, yang menelan belanja kira-kira RM100,000.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pembedahan plastik bagi memperbaiki wajah remaja itu akan dilaksanakan setelah mendapat persetujuan dan nasihat daripada pakar pembedahan plastik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri bersetuju menanggung keseluruhan kos pembedahan plastik adik Lin (Nur Dahyatul) dan pembedahan akan dilakukan setelah mendapat persetujuan daripada pakar di HSNZ.

Jika mereka kata boleh dibuat di sini (pembedahan) kita akan buat di sini dan kalau kena buat di luar negara kita tetap akan tanggung keseluruhan kos pembedahyan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada keluarga Nur Dahyatul di rumah neneknya di Kampung Sekayu, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Pengarah Pendidikan Negeri Shafruddin Ali Hussin.

Dalam kejadian enam tahun lepas hampir keseluruhan wajah Nurul Dahyatul mengalami kecederaan teruk ekoran terkena asid yang disimbah bapa kandungnya.

Manakala ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, neneknya, Minah Omar, 56, dan adiknya, Mohd Irfan Firdaus, 2, turut melecur di beberapa bahagian badan akibat terkena simbahan asid.

Ahmad Razif dalam pada itu juga berkata kerajaan negeri juga akan memberi bantuan biasiswa pendidikan kepada Lin dan dua lagi adiknya bagi meringankan beban ibunya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kemaman.

Che Ku Zaimah yang turut berada di sisi Lin juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri dengan bantuan yang diberikan bagi meringankan kos pembedahan itu dan pembiayaan pendidikan anak-anaknya.

“Saya bersyukur atas bantuan yang diberikan dan berharap agar pembedahan tersebut akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Bernama