Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di Dhaka

dhaka1

KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden penahanan tebusan di sebuah kafe yang popular dalam kalangan warga asing yang terletak dalam zon diplomatik di Dhaka, menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di ibu negara Bangladesh itu.

Kafe itu terletak kira-kira 300m dari kediaman Pesuruhajaya Tinggi Malaysia di Bangladesh, Nur Ashikin Mohd Taib, dan kira-kira 3km dan bertentangan dari seberang sebuah tasik dari bangunan suruhanjaya tinggi itu.

“Semua staf kami dari Malaysia dan yang terdiri daripada penduduk tempatan selamat,” kata pegawai itu kepada Bernama ketika dihubungi di Dhaka.

Terdapat kira-kira 200 rakyat Malaysia di Dhaka, kebanyakan mereka telah pulang ke tanah air untuk cuti Aidilfitri.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden serangan itu yang berlaku di Holey Artisan Bakery di daeraj Gulshan, Dhaka.

Laporan berita dari Dhaka menyatakan sekumpulan lelaki bersenjata melakukan serangan di kafe itu dan menahan beberapa individu sebagai tebusan pada Jumaat malam, dengan sebuah akhbar melaporkan pada Sabtu bahawa pasukan keselamatan Bangladesh menembak mati enam lelaki bersenjata dan menyelamatkan 14 tebusan.

Turut dilaporkan kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu.

Kementerian Luar berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu.

“Kerajaan Malaysia menggesa kerajaan Bangladesh supaya meningkatkan usaha untuk memastikan penyerang berkenaan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

“Kerajaan Malaysia juga merakamkan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Bangladesh, khususnya kepada keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu.

Katanya Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan terus memantau situasi itu.

Warga Itali dan Jepun dilaporkan antara yang dijadikan tebusan.

Bernama