Kerajaan sediakan RM730 juta untuk SRJKT sejak 2010

subramaniam-sjkt

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM730 juta bagi pembangunan, pemulihan serta penyelenggaraan untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara sejak 2010.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata peruntukan itu membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan dan pembangunan SJKT, yang kini berjumlah 520 buah di seluruh negara.

“…(akan) ada penambahan tujuh buah SJKT, yang mana dua buah telah siap dibina, sementara lima lagi menunggu isu tanah untuk diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan blok baharu SJKT Ampang, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Mengenai pembinaan blok SJKT Ampang itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk pembinaan blok tambahan sekolah itu bagi menampung pertambahan muridnya.

Blok tambahan itu mengandungi enam bilik darjah bagi menampung pelajarnya yang kini mencecah 400 murid.

“Dengan penambahan blok baharu (menjadikan keseluruhan 18 bilik darjah), akan ada dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang kerana selama ini, sekolah ini hanya mempunyai satu sesi,” katanya.

SJKT Ampang hanya mempunyai 30 murid ketika mula dibina pada 1953.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kementerian Pendidikan juga dalam usaha untuk memindahkan SJKT yang tertumpu di kawasan ladang sebelum ini, ke kawasan bandar.

“Sebanyak 60 peratus pemindahan SJKT dari ladang ke bandar telah dilakukan, sebab sekarang terdapat banyak SJKT di kawasan ladang tetapi kekurangan pelajar, sedangkan ada ramai pelajar India di kawasan bandar tetapi SJKT di kawasan
bandar terhad,” katanya.

-Bernama