Penganjur: Muhyiddin pada mulanya setuju hadir

nothing-2-hide

AMPANG: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mempersoal tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak hadir di minit-minit terakhir program ‘Nothing To Hide 2.0′.

Presidennya, Azwanddin Hamzah mendakwa, Muhyiddin bersetuju hadir ke program yang dianjurkan oleh pihaknya semasa pertemuan ’empat mata’ di antara kedua-dua pihak.

“Kami telah mengadakan pertemuan sulit dan dalam pertemuan tersebut, kami berbincang mengenai program ini.

“Saya yang mencadangkan betapa perlunya program ini diadakan sebagai satu penjelasan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Kelab Darul Ehsan di sini hari ini.

Tujuan program ini diadakan supaya Muhyiddin menjelaskan isu skandal membabitkannya dengan seorang isteri orang yang diuar-uarkan baru-baru ini.

“Ketika itu beliau menafikan ia sebagai fitnah dan kami berpendapat beliau patut diberi keadilan untuk menjelaskan isu tersebut,” katanya.

Azwanddin dalam masa yang sama turut ditanya bila pertemuan empat mata yang dijalankan antara beliau dan Muhyiddin.

“Sebelum bulan puasa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab tarikh sebenar pertemuan sebaliknya mahu soalan itu ditanya kepada Muhyiddin.

“Tarikh kena tanya dia, waktu kena tanya dia, tempat kena tanya dia, pukul berapa kena tanya dia,” tegasnya.

Pegawai Khas Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim ketika dihubungi FMT menafikan bekas Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan empat mata dengan Azwanddin.

“Semuanya tipu. Apabila kami mendapat tahu dia tidak membalas pesanan ringkas kami (SMS).

“Kami menghubungi dia, mesej dia tapi tak pernah dijawab,” katanya.

Pihak penganjur program itu juga mengedarkan Akuan Bersumpah berhubung hubungan sulit Muhyiddin dengan seorang isteri orang.