Peserta Nothing 2 Hide: JMM penipu

jmm

AMPANG : Kebanyakan peserta Nothing To Hide 2.0 kecewa selepas mendapati penganjurnya, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menipu berhubung kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Marah dan kesal, salah seorang peserta yang ditemui FMT, Hukum Mohd Noor, 60 berkata tujuannya ke program tersebut adalah untuk mengetahui cerita sebenar membabitkan isu nasional.

“Kami datang untuk mendengar apa yang sebenarnya terjadi melibatkan isu negara dan bukan skandal hubungan Muhyiddin dengan isteri orang yang kami sedia tahu fitnah semata-mata. Di sini, mereka pula menjaja perkara buruk tentang Muhyiddin.

“Mereka menipu kami. Kita orang Islam dan berpuasa, tak baik berbuat demikian,” katanya di Kelab Darul Ehsan di sini hari ini.

Terdahulu, penganjur berjanji Muhyiddin akan menghadiri program itu tetapi selepas sejam, kelibat Muhyiddin langsung tidak kelihatan sekali gus mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan kira-kira 200 orang peserta program.

Seorang peserta yang enggan dikenali berkata, ketidakhadiran Muhyiddin jelas menunjukkan penganjur menipu mereka.

“Mendengar kandungan ucapannya pun sudah cukup mengesahkan Muhyiddin tidak akan hadiri program ini.

“Kami bukan kanak-kanak, apabila anda buat ucapan seperti itu (menyerang Muhyiddin), anda cuba untuk menipu orang yang ada di sini,” katanya kepada FMT.

Seorang peserta program, Purnama Kasim, 55, pula mendakwa penganjur program adalah ‘orang’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka cuba untuk burukkan Muhyiddin. Mereka orang Najib,” katanya.