Sungai Besar petanda BN boleh dapatkan semula Selangor

noh-omar

PETALING JAYA: Barisan Nasional akan menggunakan strategi yang digunapakai di Sungai Besar untuk menguasai semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang, kata ketua Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

“Ini adalah momentum, ini satu sistem yang baharu. Kami telah berbincang dengan semua komponen BN dan kembali selepas satu tempoh yang lama. Kami juga kembali dengan satu pelan untuk memenangi semula Selangor, ” katanya dalam satu temu bual di sebuah portal dalam talian.

“Kami mencuba di Sungai Besar, jika ia berjaya di sana, ia akan menjadi rujukan kami. Jika kami kalah, maka kami mahu abaikan rangka tindakan itu. Tetapi ia berjaya dan nampaknya boleh digunakan untuk pilihan raya umum akan datang. Ya, kami akan gunakannya.”

Strategi tersebut, berdasarkan indeks prestasi utama, disediakan untuk pilihan raya kecil Sungai Besar bulan lalu untuk calon BN Budiman Mohd Zohdi yang dipilih sebagai Ahli Parlimen menggantikan Noriah Kasnon yang meninggal dunia dalam nahas helikopter pada bulan Mei.

Budiman, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor bagi Sungai Panjang memperoleh 16,800 undi dengan majoriti 9,191 lebih daripada saingan terdekatnya, Azhar Abdul Shukor dari Amanah (7609) yang mewakili Pakatan Harapan. Calon ketiga, Abdul Rani Osman dari PAS, hanya mendapat 6,902 undi.

Strategi Umno di Sungai Besar adalah untuk memberi tumpuan kepada kekuatan BN, bukan kepada kelemahan pihak pembangkang serta dengan menetapkan sasaran bagi setiap parti anggota BN untuk menyampaikan bilangan tertentu undi, kata Noh.

“Kami tidak mengambil kira tentang pertandingan tiga penjuru atau lima penjuru atau apa sahaja yang telah dipersiapkan oleh pembangkang. Lupakan tentang hal itu kerana dalam BN kita akan tumpu kepada pihak kami.

“Kami mempunyai KPI dan dengan kapasiti 17,000 undi daripada satu pihak, kita akan usahakan juga daripada pihak kaum Cina dan kaum India. Kami semua mempunyai KPI tersendiri untuk dicapai,” petik kata Noh Omar.

Noh Omar menjangkakan perubahan dalam politik Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang selepas gabungan parti pemerintah sebelum ini mengalami kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, termasuk kehilangan Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor pada tahun 2008 dan 2013 kepada pembangkang.

Minggu lalu, Noh Omar kembali dalam Kabinet Persekutuan, dilantik sebagai menteri perumahan, kesejahteraan bandar dan kerajaan tempatan.

“Sekarang saya dalam Kabinet, saya boleh menyuarakan kebimbangan rakyat Selangor secara langsung kepada semua menteri. Saya boleh bertemu Perdana Menteri dan menteri-menteri lain hampir setiap minggu. Jika ada masalah, saya boleh terus menyelesaikannya bersama-sama menteri dan bukannya kerajaan negeri. Ini satu kelebihan, “kata Noh Omar.