2 kedai, 5 kereta musnah terbakar di Andalas

xavier-jayakumar-kebakaran-andalas

PETALING JAYA: 18 orang termasuk 10 kanak-kanak dikejarkan ke hospital kerana masalah pernafasan selepas kebakaran memusnahkan dua kedai yang terletak dibawah rumah pangsa kos rendah yang mereka diami.

Dalam kejadian di Taman Sri Andalas awal hari ini, warga rumah pangsa di empat tingkat terpaksa keluar daripada rumah masing-masing. Lima kereta yang diletakkan di depan kedai turut musnah.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menyiasat punca kebakaran,” kata Adun Seri Andalas Dr Xavier Jeyakumar kepada The Sundaily.com.

“Bagaimanapun ada dakwaan api berpunca daripada kanak-kanak bermain bunga api atau seseorang buang puntung rokok berhampiran kedai.”

Beliau meminta orang ramai supaya jangan mudah termakan khabar angin yang tersebar di media sosial, kononnya kebakaran berpunca daripada bom tangan yang dibaling pengganas.

Empat jentera dengan kekuatan 30 anggota digegaskan untuk memadam kebakaran yang bermula sekitar 11 pagi. Kebanyakan daripada penduduk adalah warga Sabah dan Indonesia yang bekerja di kilang-kilang berhampiran.