Adakah Najib dalam group WhatsApp ‘menghina’, tanya peguam

Syahredzan-Johan

PETALING JAYA: Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut sama dalam sebuah “group” WhatsApp di mana salah seorang anggotanya menghantar gambar menghina perdana menteri itu?

Ini persoalan yang dilontarkan peguam hak asasi dan perlembagaan, Syahredzan Johan, susulan penangkapan seorang lelaki berusia 76 tahun di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, lelaki yang menggunakan nama “Pak Ya” itu memuat naik gambar “bertujuan menghina, lucah dan menyakitkan hati rakyat Malaysia” dalam kumpulan WhatApps “Bicara Politik Melayu”.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan setahun.

Syahredzan mempersoalkan bagaimana mesej WhatsApp itu boleh dianggap penghinaan sekiranya pemimpin tersebut tidak ada dalam “group” terbabit.

“Yang boleh baca cuma orang yang dalam WhatsApp group sahaja, bukan orang luar,” katanya kepada FMT, sambil menganggap Akta SKMM menyimpang dari matlamatnya.

Peguam hak asasi Melissa Sasidaran berkata pihak berkuasa sewajarnya tidak campur tangan perbualan menggunakan WhatsApp kerana ia ruang tertutup dan peribadi.

“Pihak berkuasa harus menumpukan perhatian kepada jenayah yang serius dan juga jenayah online seperti pedofilia dan pornografi melibatkan kanak-kanak, bukannya kepada isu remeh seperti ini,” katanya.

Menurut Melissa, Seksyen 233 ditafsirkan dengan terlalu meluas dan sering disalahgunakan.

“Tujuan seksyen ini sebenarnya adalah untuk menangani isu seperti gangguan atas talian yang serius, ugutan dan pembulian terhadap orang biasa, bukannya untuk melindungi mana-mana orang kenamaan, pihak berkuasa ataupun perasaan tersinggung.”

Beliau mempersoalkan sama ada selepas ini pihak berkuasa akan bertindak terhadap kandungan aplikasi lain seperti emel peribadi.