Azan bergema dari Hagia Sophia, pertama kali sejak 81 tahun

azan

ISTANBUL: Sejak 81 tahun lalu, azan tidak dilaungkan dari dalam Hagia Sophia, antara monumen bersejarah paling ikonik di Istanbul.

Tetapi, buat pertama kalinya, seorang muazin melaungkan azan di dalam Hagia Sophia, pada Sabtu lalu, menurut laman Russia Today (RT).

Menurut RT, sejak empat tahun lepas, azan berkumandang dari menara Hagia Sophia yang kini menjadi sebuah muzium, namun muazin melaungkannya dari sebuah bilik solat, bukan dari dalam Hagia Sophia sendiri.

Hagia Sophia yang bermaksud ‘Hikmah Suci’ dalam bahasa Greek, dibina sebagai sebuah gereja Byzantine pada abad ke-6 sebelum ditukar menjadi masjid pada 1453 ketika tentera Ottoman menakluki Istanbul, yang ketika itu dikenali sebagai Constantinople.

Selepas kejatuhan Empayar Ottoman dan Turki dibangunkan sebagai negara moden sekular, masjid tersebut ditukar menjadi muzium pada 1935.

Agensi melaporkan, pada bulan lalu Turki membenarkan Al-Quran dibacakan di dalam Hagia Sophia sepanjang Ramadan tahun ini.

Malah, setiap hari, saluran televisyen Turki, Diyanet TV menyiarkan ulama Turki membaca Al-Quran di dalam muzium itu pada waktu sahur, lapor agensi berita AFP.

Bagaimanapun, tindakan itu dibantah Greece dan parti pembangkang di negara itu, New Democracy menyifatkannya sebagai “provokatif dan tidak munasabah”.

“Langkah pihak berkuasa Turki menjadualkan tilawah Al-Quran di Hagia Sophia pada bulan Ramadan merubahnya kepada sebuah masjid buat pertama kali dalam 80 tahun.

“Ia tindakan provokatif dan tidak munasabah, dan menunjukkan sikap tidak menghormati penganut Kristian Ortodoks di serata dunia,” kata penyelaras Ehwal Luar dan Pertahanan parti itu, Dora Bakoyannis dan Ketua Sektor Ehwal Luar Loannis Kefalogiannis dalam kenyataan bersama ketika itu, lapor AFP.

Pada Mei, ribuan jemaah berhimpun di Hagia Sophia, menuntut hak mereka untuk menunaikan solat di sana.