Belum sah bekas pelajar Monash terlibat serangan Dhaka

khalid-mohasKUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Bangladesh belum dapat mengesahkan dakwaan bekas pelajar Universiti Monash Malaysia warga Bangladesh terlibat dalam melancarkan serangan di Dhaka Jumaat malam lalu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata dakwaan itu hanya tersebar melalui media sosial dan kebenarannya belum dipastikan.

“Saya tidak tahu dari mana media dapat maklumat. Jangan hanya ambil dari media sosial dan petiknya sebagai laporan berita.

“Saya ingin jelaskan sehingga sekarang pihak berkuasa Bangladesh sendiri belum dapat sahkan sama ada gambar tersebar itu yang bertanggungjawab atas serangan, atau hanya mangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Pada malam Jumaat lalu, tujuh ahli militan IS bersenjata menyerang kafe Holey Artisan Bakery di ibu negara Bangladesh itu menyebabkan 22 terbunuh, termasuk dua anggota polis.

Enam penyerang ditembak mati oleh pihak berkuasa, manakala seorang lagi ditahan dan kini sedang disoal siasat.

Media kemudian melaporkan salah seorang penyerang terbabit merupakan bekas pelajar jurusan perakaunan Universiti Monash di sini dan dikenali sebagai Nibras Islam.

New Straits Times hari ini memetik sumber PDRM berkata Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman kini sedang menyiasat perkara itu.

Khalid berkata PDRM mengesahkan dua individu dalam gambar yang tersebar itu pernah belajar di sini, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka benar-benar terlibat dalam serangan itu.

“Jangan cepat buat kesimpulan. Jika benar mereka terlibat, kena tengok juga sama ada mereka diradikalkan di sini, atau di negara lain,” katanya.

Sementara itu, katanya polis tidak terlibat dalam mengarahkan Gereja Assumption, Petaling Jaya agar membatalkan majlis berbuka puasa yang dijadualkan minggu lalu.

“Kami sudah semak dengan polis Selangor dan (mereka sahkan) tidak pernah hantar polis ke sana. Kami juga tidak terima sebarang laporan.

“Saya risau ini dibuat untuk memburukkan imej polis. Pihak gereja pula terlalu cepat membawa hal ini ke media tanpa memaklumkan kepada kami,” katanya.

Aktivis Syed Azmi Alhabshi sebelum ini memuat naik mengenai pembatalan majlis itu di Facebook selepas mendakwa menerima nasihat polis akan kemungkinan ada individu atau kumpulan mahu membuat kacau ketika acara itu berlangsung.