Bukan seorang, tetapi 4 pengganas Dhaka pernah belajar di Malaysia

isis

PETALING JAYA: Empat daripada lima penembak yang dikenal pasti polis Bangladesh terbabit dalam serangan pengganas di Dhaka minggu lalu, dilaporkan pernah melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta di Malaysia.

Sebelum ini, laporan India Today menyebut salah seorang daripada penyerang dalam kejadian keganasan di Dhaka minggu lalu, Nibras Islam, adalah bekas penuntut Universiti Monash kampus Malaysia.

Oriental Daily yang memetik pelbagai media di India melaporkan perisikan Amerika Syarikat terlebih dahulu mengumumkan senarai penembak terbabit ekoran gambar penembak yang disiarkan IS.

Sebaik sahaja senarai itu diumumkan, pelbagai pihak segera “menyiasat” latar belakang penembak itu dan mendapati kebanyakan mereka berasal daripada keluarga kaya dan berpendidikan aliran Inggeris.

Selain Nibras, tiga lain yang pernah menuntut di Universiti Monash kampus Malaysia ialah Rohan Imitiaz, Andaleeb dan Raiyan Minhaj.

Jumaat lalu, sembilan lelaki bersenjata menyerang Holey Artisan Bakery Cafe di Gulshan, Dhaka, yang popular di kalangan pelancong di ibu negara Bangladesh itu menyebabkan 20 maut, termasuk 18 warga asing.

Enam penyerang itu ditembak mati pasukan keselamatan manakala seorang lagi suspek ditangkap.