Di keheningan malam, Obama berjaga berbekalkan 7 biji badam

obama

PETALING JAYA: Ketika memegang jawatan presiden dulu, George W Bush masuk tidur jam 10.00 malam.

Lain pula dengan Barack Obama, presiden berkulit hitam pertama Amerika Syarikat yang mengangkat sumpah pada 2008.

Obama memilih tidur lewat kerana kesunyian malam memberinya peluang bersendirian.

Pada waktu inilah beliau membaca timbunan kertas taklimat yang dibekalkan kepadanya dalam “Bilik Perjanjian” di Rumah Putih, kediaman rasmi presiden AS.

Berbekalkan sebotol air kosong dan tujuh biji badam, Obama akan berada di dalam bilik itu antara empat hingga lima jam setiap malam, biasanya bersendirian untuk bekerja, sambil membaca surat daripada orang awam, menyemak dokumen kerajaan atau menulis ucapan, lapor akhbar New York Times (NYT) hari ini.

“Saya mungkin akan membaca kertas taklimat atau buat kertas kerja atau menulis sesuatu hingga 11.30 malam, kemudian setengah jam sebelum tidur saya akan membaca. Mungkin hingga 12.30 tengah malam, kadangkala lebih lewat lagi,” NYT memetik Obama memberitahu Newsweek pada 2009.

Pada 2014, Obama dalam rancangan “Live With Kelly and Michael” berkata beliau tidur lewat hingga jam 2.00 pagi membaca kertas taklimat dan bekerja – dan beliau bangun tidur esoknya pada kira-kira jam 7.00 pagi.

Rutin Obama setiap malam bermula jam 7.15 malam selepas makan malam bersama keluarganya.

Siaran ESPN, main iPad

Pada masa itu, beliau biasanya bermain biliard selepas menidurkan dua anak perempuannya.

Tetapi, selepas anak-anaknya remaja, Obama terus ke “Bilik Perjanjian” selepas makan malam jam 6.30 petang.

Bilik perjanjian ialah pejabat persendiriannya di hujung sekali di tingkat dua Rumah Putih.

Ia dinamakan “Bilik Perjanjian” kerana di situ, banyak dokumen bersejarah ditandatangani termasuk protokol keamanan yang mengakhiri Perang Sepanyol-Amerika pada 1898.

Rahm Emanuel, ketua kakitangan Obama, berkata di dalam bilik itu, siaran sukan sentiasa terpasang di televisyen tetapi dengan nada suara yang perlahan.

Menjelang jam 8 malam, kakitangan pejabat menghantar taklimat harian bersama timbunan tinggi fail dengan memo, serta dokumen daripada semua jabatan kerajaan, yang semuanya memerlukan perhatian Obama sebagai presiden.

Tetapi tidak semua yang berlaku di bilik ini adalah berkaitan kerja.

Ada kalanya, ketika malam sunyi, presiden membaca novel atau bermain Words With Friends di iPad, atau menonton ESPN.

Obama juga menonton berita, mengimbas akhbar harian di iPad atau menonton siri televisyen.

Obama dan isterinya juga peminat beberapa drama di televisyen kabel berbayar seperti “Boardwalk Empire,” “Game of Thrones” dan “Breaking Bad”.

Setiap Jumaat malam, mereka sekeluarga ke pawagam keluarga, bilik tayangan dengan 40 kerusi di tingkat satu, sayap timur di Rumah Putih untuk menonton filem.

Kini, tinggal enam bulan lagi untuk Obama “berjaga” pada waktu malam di bilik perjanjian, sebelum tamat tempohnya sebagai presiden.

Pada Mac, beliau dipetik sebagai berkata, sebaik saja keluar dari Rumah Putih, “saya hanya akan tidur untuk tempoh tiga, empat bulan”.