Exco Penang sebulat suara kekalkan Guan Eng ketua menteri

rashid-hasnon-lim-guan-engGEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini sebulat suara bersetuju Lim Guan Eng kekal ketua menteri, selepas mesyuarat tergempar majlis kerajaan negeri (exco) hari ini.

Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon berkata exco memutuskan Guan Eng tidak perlu mengambil cuti kerana beranggapan beliau tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang dihadapinya.

“Ia keputusan sebulat suara yang dakwaan ke atas Lim bermotifkan politik dan oleh itu beliau tidak perlu mengambil cuti,” Rashid memberitahu wartawan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berkata exco memberikan keyakinan penuh kepada Guan Eng.

Khamis lalu, Guan Eng mohon dibicara atas pertuduhan berkait salah guna kuasa dalam meluluskan permohonan sebuah syarikat menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman. Beliau turut didakwa menyalah guna kedudukannya dalam pembelian sebuah banglo daripada ahli perniagaan Phang Li Khoon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta.