Guan Eng tak patut jawab tuduhan di jalanan

Tan-Tuan-TatKAJANG: Seorang bekas pemimpin DAP menyelar program ‘Sesi Penerangan Ketua Menteri bersama Rakyat’ anjuran kerajaan Pulau Pinang semalam kerana ia menghina proses mahkamah.

Bekas setiausaha publisiti DAP Selangor Tan Tuan Tat berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjuran program itu.

“Apabila Lim Guan Eng didakwa dia tidak boleh berbuat begini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mendakwa Guan Eng sekali lagi cuba mendapatkan simpati rakyat, seperti yang dilakukannya dalam kes bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik pada 1995.

Dalam kes itu, Guan Eng didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan bagi kesalahan menghasut orang ramai dalam satu ceramah umum dengan mendakwa negara ini mengamalkan undang-undang ‘berat sebelah’, selain penjara 18 bulan atas kesalahan menerbitkan berita palsu.

“Dulu pun dia buat untuk tarik simpati, tetapi masyarakat sekarang tidak bodoh untuk ditipu setiap kali,” katanya yang mengambil keputusan untuk keluar parti pada 2012.

Untuk rekod, pertubuhan Amnesty International menamakan Guan Eng sebagai banduan nurani bagi kes itu.

Sementara itu, Tuan Tat menggesa kerajaan Pulau Pinang disiasat berikutan kemungkinan salah guna kuasa kerana menganjurkan program tersebut.

“Ini kes peribadi. Guan Eng tidak boleh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri dan setiausaha agung DAP sebagai perisai. Dia patut jawab tuduhan di mahkamah, bukannya di jalanan.

“Dia mesti meletakkan semua jawatan demi menyelamatkan kerajaan negeri malu. Dia juga patut letak jawatan sebagai setiausaha agung parti,” katanya.

Kedua-dua kerajaan dan Pakatan Harapan Pulau Pinang sebelum ini memutuskan Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatan atau bercuti atas dasar dakwaan tersebut bermotif politik dan peranan ketua menteri tidak akan mempengaruhi badan kehakiman.

“Adakah Guan Eng ini terlalu istimewa sehingga tak perlu berbuat demikian? Saya kenal dia sudah 18 tahun. Saya harap akan ada pemimpin DAP yang berani tegur perkara ini,” katanya.

Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 30 Jun lalu mendakwa Guan Eng di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, atas tuduhan salah guna kuasa bagi kepentingan diri dan isterinya dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.