Jabatan Kebudayaan turut bimbang fesyen ‘asing’ sempena Hari Raya

eslina-jkkn

KUALA LUMPUR: Fesyen “jubah sado” sempena Hari Raya yang baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi boleh mengancam warisan pakaian tradisional Melayu, menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Bagaimanapun, ia mengakui idea seumpama itu kesan daripada kemunculan Internet yang mendedahkan negara kepada pelbagai fesyen luar negara.

“Idea-idea baru ini mungkin diceduk dari rekaan luar negara yang tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat kita, justeru itu wujudlah pelbagai rekaan seperti jubah tanpa lengan, jubah hipster, jubah pahlawan dan sebagainya,” kata Pengarah Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Ezlina Alias, seperti dipetik Bernama.

Katanya, fesyen seumpama itu boleh menghakis warisan pakaian baju Melayu.

Beberapa bulan lalu, kemunculan fesyen jubah moden atau “Jubah Pahlawan” mengundang kritikan pelbagai pihak.

Malah akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, mahu pihak berkuasa campur tangan membendung “pencemaran fesyen”.

“Jubah yang sepatutnya dipakai mengikut adab dan tertib bertukar menjadi pakaian yang menjolok mata. Bayangkan pemakaian jubah lelaki kini dicemari dengan fesyen yang liar,” tulis akhbar itu Mac lepas dalam ruangan pojok di bawah nama samaran Awang Selamat.

Menjelang Hari Raya minggu ini, jubah moden bukan satu-satunya fesyen yang mendapat perhatian.

Baru-baru ini, pelakon Jaafar Onn membidas fesyen kurta yang dipromosikan sempena Hari Raya, kerana baginya fesyen bercirikan budaya India tidak sesuai pada Aidilfitri.

“Perayaan tahun ini akan menjadi hancur bila baju kurta budaya India. Diketengahkan seperti menyambut raya India.

“Bagi saya mereka yang memakai baju kurta sebab tak mahu pakai songkok dan sampin, jangan hancurkan baju melayu tradisional yang lengkap dgn sampin dan songkok,” katanya dalam kiriman Facebook.

Antara ciri “Jubah Pahlawan” ialah lengan pendeknya yang memudahkan mengambil wuduk, serta poket memuatkan telefon bimbit.

Bagi seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknolgi Mara, kemunculan pakaian moden dengan pengaruh luar akan melunturkan identiti pakaian tradisional.

“Ia mungkin sampai ke satu tahap hingga generasi Melayu akan datang tidak
lagi mengenali pakaian tradisional dan identiti budaya Melayu.

“Lebih menyedihkan apabila generasi akan datang tidak berpeluang lagi menggayakan pakaian tradisional mereka kerana dilambakkan dengan pakaian rekaan moden,” kata pensyarah Sri Qamariah Mohd Samsir seperti dilapor Bernama.