Kalah menang Allah tentukan, bukan manusia – kata PAS pada Husam

Datuk-Nik-Mohd-Amar-Nik-Abdullah,husam-musa

PETALING JAYA: Ramalan Datuk Husam Musa mengenai PAS akan jatuh di Kelantan dan Selangor tidak meruntuhkan semangat parti Islam itu untuk terus berjuang.

Sebaliknya, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yakin urusan kalah dan menang itu bukan ditentukan oleh manusia, tetapi Allah.

“Kalau Husam ingin PAS kalah sekalipun, kalau Allah tidak takdirkan PAS kalah, tidak kalah PAS. Walaupun Husam beria-ria mahu PAS kalah, jika takdir Allah kata PAS menang, PAS menang juga,” katanya kepada FMT.

Nik Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Husam yang berkata PAS “tentu akan jatuh” di Kelantan sementara di Selangor dan semua 15 kerusi negeri yang disandangnya akan turut hilang.

Husam yang juga bekas naib presiden PAS berkata keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga membuktikan PAS tidak lagi berpeluang menang di kerusi campuran dan “marginal” kawasan majoriti Melayu.

Mengulas lanjut, Nik Amar berkata kenyataan Husam itu disifatkan sebagai seorang yang ‘kecewa’ susulan pemecatannya pada April lalu.

Katanya, itu sebabnya Husam mengeluarkan kenyataan berkenaan untuk melepaskan kekecewaan terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya.

“Semangat kita tidak runtuh walau siapa-siapa kata pun kita tak runtuh. PAS berjuang bukan atas manusia, PAS berjuang atas tuntutan agama. Orang nak kata apa pun katalah, kita tak peduli.

“Tanggungjawab kita berjuang dan berusaha. Hanya Tuhan yang tentukan kalah menang,” katanya.

Pada April, PAS bersetuju memecat Husam setelah beliau didapati ingkar kepada arahan parti dan tidak “mengamalkan akhlak Islam.”

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Dr Sanusi Daeng Mariok berkata tindakan itu diambil setelah mempertimbangkan kes ini daripada semua aspek serta mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

Husam sebelum itu lantang mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama parti Islam itu dengan Umno serta kepimpinan parti berhubung isu hudud.