Kecewa digantung, Shafie umum keluar Umno

shahfie-apdal,mtPETALING JAYA: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keluar Umno selepas Majlis Tertinggi (MT) memutuskan untuk menggantung keahlian beliau sehingga siasatan selesai dijalankan.

Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu digantung daripada jawatannya sebagai naib presiden Umno susulan tindakannya yang dikatakan secara terang-terangan melanggar disiplin dan perlembagaan parti.

Turut hadir mendengar pengumuman itu ialah beberapa pemimpin Umno Bahagian dan sayap, selain penyokongnya. Shafie yang kini bekas ketua Umno Bahagian Semporna merupakan salah seorang pengasas parti Melayu itu Sabah.

Sebelum ini MT sebulat suara membuat keputusan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli Umno kerana didapati melanggar disiplin dan perlembagaan parti.

Kedua-duanya didakwa duduk sepentas dengan parti pembangkang sambil memburuk-burukkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia.

Walaupun Shafie sejak mula dipecat daripada Kabinet bersama Muhyiddin kerana mengkritik kepimpinan Najib, namun nasibnya agak baik kerana MT hanya menggantung keahliannya sehingga siasatan jawatankuasa disiplin parti selesai.