Kerajaan pertimbang vaksin percuma kepada pendatang asing

subramaniam-vaccine-1

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan semua aspek mengenai pemberian suntikan vaksin secara percuma terutama kepada pendatang asing dan pelarian yang menetap di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pihaknya masih berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri memandangkan warga asing merupakan antara faktor penyebab penyakit berbahaya di Malaysia.

“Kita masih berbincang pelbagai perkara mengenai suntikan ini. Namun sehingga ini belum ada sebarang keputusan dibuat kerana perkara ini perlu diteliti secara keseluruhan dan mendalam bagi menjamin kesejahteraan semua pihak.

“Keputusan ini hanya akan diumumkan selepas perbincangan holistik dilaksanakan oleh Jawatankuasa Teknikal Tinggi Kementerian Kesihatan dan ia akan menjadi hala tuju kita untuk melaksanakannya. Selepas mendapat konsensus, barulah kita boleh membuat keputusan,” katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek dan sumbangan berjumlah kira-kira RM700,000 kepada 48 badan bukan kerajaan termasuk wakil dari kuil dan penuntut yang belajar di luar negara di sini hari ini.

-BERNAMA