Kos ‘automatik’, pembatalan antara sebab syarikat penerbangan boleh didenda

aeroplane-1

PETALING JAYA: Penumpang yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat penerbangan kini boleh membuat aduan di bawah Kod Perlindungan Pengguna yang mula berkuat kuasa Jumaat lepas, menurut akhbar The Sun.

Syarikat penerbangan yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM2,000 bagi kesalahan pertama, dan 10 kali ganda amaun tersebut bagi kesalahan berulang.

Kod itu memberi kuasa kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Macvom) memastikan syarikat penerbangan memberi layanan terbaik kepada pengguna.

Antara aduan yang boleh dibuat termasuk pembatalan penerbangan, kelewatan, bagasi hilang, penambahan kos secara “automatik” ketika membuat tempahan tiket dan diskriminasi terhadap penumpang cacat anggota.

Walaupun rata-rata ramai menyambut baik pelaksanaan kod tersebut, penganalisa Hong Leong Investment Bank (HLIB) Daniel Wong, bagaimanapun mengingatkan ia mungkin menyebabkan peningkatan kos menjalankan perniagaan.

“(Syarikat penerbangan) perlu mematuhi peraturan baru dan kos operasi disebabkan pematuhan tersebut mungkin meningkat,” katanya kepada TheSun.

Sebelum ini, tiada syarikat penerbangan didenda atas alasan perkhidmatan kurang memuaskan kepada penumpang.

Pada 13 Jun, Mavcom mengumumkan pembatalan lesen penerbangan Rayani Air, yang berkonsepkan patuh syariah, berikutan kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi.