Lawak ‘PM = pencuri’ tak kelakar bagi Pemuda Umno Selangor

fakka-fuzz

Shah Alam: Klip video pelawak Singapura Fakkah Fuzz di mana beliau berkata perkataan “pencuri” di Malaysia boleh juga diterjemahkan sebagai “perdana menteri”, tidak disenangi Pemuda Umno Selangor.

Berang dengan jenaka tersebut, ketuanya Zainuri Zainal mahu Kementerian Dalam Negeri mengharamkan terus Fakkah daripada memasuki negara.

“Sebagai seorang pelawak, terdapat pelbagai cara dan idea untuk menghiburkan audien,” katanya dalam satu kenyataan.

Fakkah dalam salah satu pertunjukan komedinya baru-baru ini membuat perbandingan Bahasa Melayu ditutur rakyat Singapura dan Malaysia.

Selepas memberikan beberapa perbezaan istilah Melayu kedua-dua negara itu, Fakkah kemudian menyebut perkataan “thief” bagi Melayu Singapura ialah “pencuri”, tetapi di Malaysia, ia sama erti dengan “perdana menteri”.

Fakkah, yang merupakan antara pelawak paling popular di Singapura dan mengadakan persembahan di Hong Kong, Australia dan New York, semalam meminta maaf sekiranya jenaka beliau mengguris hati.

“Saya hanya mahu menghibur. Saya ucapkan Selamat Hari Raya,” kata beliau sambil memuat naik klip video memaparkan baju-T “Relax lah, it’s just Singapore”.

Zainuri bagaimanapun berkata permintaan maaf Fakkah tidak memadai kerana “kesannya sangat mendalam terhadap hati dan perasaan rakyat Malaysia”.

“Nasihat kami kepada Fakkah, jangan masuk campur urusan Malaysia, cermin dahulu wajah sendiri. Bak kata pepatah jangan jadi seperti ayam yang lantang berkokok tetapi ekor terpalit najis.”