Muhyiddin: JMM rendah moral, muflis akhlak

muhyiddin

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau pernah setuju menyertai program “Nothing to Hide 2.0” anjuran sebuah kumpulan pro-Umno semalam.

“Penting untuk diketahui bahawa program ‘Nothing to Hide 2.0’ adalah satu komplot jahat yang dilakukan secara terancang oleh pihak yang rendah moral dan muflis akhlak,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwandin Hamzah sebelum ini mendakwa Muhyiddin pada awalnya bersetuju hadir di program yang diadakan di Kelab Darul Ehsan petang semalam.

Muhyiddin berkata dakwaan Azwandin itu “satu pembohongan besar”.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah berjumpa dengan beliau, tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menghadiri program itu dan tidak pernah menerima apa-apa jemputan daripada JMM,” kata Muhyiddin.

Azwandin berkata program itu bertujuan memberi peluang kepada Muhyiddin menjelaskan tuduhan skandal dengan isteri orang.

Akuan Bersumpah mengenai dakwaan itu juga diedarkan pada program itu.

Muhyiddin, yang sebelum ini menafikan tuduhan itu, berkata ia jelas menunjukkan komplot menjatuhkan reputasinya.

“Begitu juga dengan sikap tidak bertanggungjawab TV3 yang turut bersubahat menyebarkan pembohongan yang sama. Semoga Allah s.w.t memberikan petunjuk kepada mereka semua.”