Pengganas Dhaka ‘anak orang kaya’ pernah belajar di Malaysia?

nibras-islam

PETALING JAYA: Seorang daripada tujuh penyerang yang terbabit dalam serangn pengganas di Dhaka minggu lalu merupakan “anak orang kaya” yang pernah menuntut di sebuah universiti swasta di Malaysia, menurut India Today.

Penyerang yang ditembak mati polis dalam serangan, Nibras Islam, didakwa pernah menuntut di Universiti Monash kampus Malaysia.

Nibras juga dilaporkan pernah melanjutkan pelajaran di Northsouth University, Dhaka.

Rakan-rakannya Nibras berkata dia seorang yang sopan santun dan hormat pada orang lain, menurut India Today.

Ia turut melaporkan Nibras diindoktrinasi pengganas untuk melancarkan serangan atas nama Islam dan tidak menghubungi keluarganya sejak Januari 2016.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan kumpulan militan IS menyusup ke institusi pendidikan di Malaysia untuk merekrut ahli baru.

China Press memetik Khalid sebagai berkata, polis sedang menyiasat universiti terbabit.

“Polis akan lebih fokus kepada isu ini dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat. Siasatan polis juga masih dijalankan,” katanya.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun pula menasihatkan rakyat tidak terlalu khuatir kerana polis sentiasa berkongsi maklumat risikan dengan pihak berkuasa negara jiran untuk mengetahui perkembangan terkini kumpulan pengganas.

Dalam pada itu, jurucakap Universiti Monash Malaysia, Dr Susheela Nair yang dipetik The Star Online berkata, pihak berkuasa belum menghubungi mereka berhubung dakwaan seorang alumninya merupakan suspek dalam serangan Dhaka.

Menurutnya, pihaknya mengetahui perkara itu melalui media sosial pada hujung minggu lalu.

Jumaat lalu, sembilan lelaki bersenjata menyerang Holey Artisan Bakery Cafe di Gulshan, Dhaka, yang popular di kalangan pelancong di ibu negara Bangladesh itu menyebabkan 20 maut, termasuk 18 warga asing.

Enam penyerang itu ditembak mati pasukan keselamatan manakala seorang lagi suspek ditangkap.