PKR persoal sejauh mana penyusupan IS dalam PDRM

wan-azizah-isis-1

PETALING JAYA: PKR mempersoalkan tahap persedian polis menghadapi IS, susulan penangkapan dua anggota polis yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas.

“Kenyataan Ketua Polis Negara bahawa dua daripada 15 yang ditangkap berkait serangan di Puchong ini adalah anggota polis.

“Maka wajib ditanya: sejauh manakah IS telah menyusup ke dalam organisasi Polis Diraja Malaysia?” kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan yang diterima FMT lewat malam tadi.

Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, Ketua Polis Negara mengesahkan kejadian letupan kelab malam Movida di Puchong 28 Jun lalu didalangi pengganas IS.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan polis membawa kepada penangkapan dua anggota polis berpangkat rendah di Kedah dan Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas.

“Seorang ditahan kerana disyaki merancang membuat samun sebagai dana untuk sel IS di sini, manakala seorang lagi kerana memberi perlindungan kepada ahli IS,” kata Khalid.

Mereka disambar bersama 15 orang lain, manakala dua lagi saspek dalam buruan polis.

Ogos tahun lalu, polis menahan enam anggota pasukan keselamatan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan IS dalam operasi serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Perlis.

Mereka antara 10 yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mempromosi ideologi IS dan mengumpul dana untuk membantu aktiviti kumpulan itu.

Sementara itu, Wan Azizah menggesa pihak berkuasa supaya mengelaskan semua kes serangan melibatkan bahan letupan sebagai serangan pengganas.

“Saya menggesa agar PDRM mengklasifikasikan setiap serangan termasuk yang menggunakan bahan letupan seperti C4, bom tangan dan sebagainya sebagai serangan pengganas sehingga dibukti sebaliknya,” kata Wan Azizah.

Serangan bom tangan di Movida merupakan kes keempat melibatkan bahan letupan sejak 2014, selepas kejadian serangan yang membunuh seorang dan mencederakan 12 yang lain di Bukit Bintang Oktober 2014.

Kecuali serangan di Puchong baru-baru ini, tiga serangan bukan angkara pengganas sebaliknya dipercayai berkaitan kongsi gelap, suami cemburu dan rompakan bank.