Seniman mahu pelawak asing kritik pemimpin disekat

hafiz-fakkah

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mahu pelawak asing yang mengkritik perdana menteri dan pimpinan tertinggi negara dilarang memasuki negara.

Ini kerana artis Malaysia tidak mengkritik pimpinan negara lain, kata Pengerusi Biro Aduan dan Undang-undang Seniman Hafiz Nafiah.

“Jadi orang lain tidak patut kritik pimpinan tertinggi negara. Perlulah hormat.

“Kita hormati kebebasan bersuara tetapi jangan guna kebebasan itu untuk kritik pimpinan tertinggi negara dan perdana menteri,” katanya.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Laporan dibuat terhadap pelawak warga Singapura, Fakkah Fuzz, dalam satu penyampaian yang membandingkan istilah pencuri di Singapura dan Malaysia.

Dalam sedutan video yang viral itu, Fakkah berkata Singapura menggelar individu yang mengambil sesuatu yang bukan haknya sebagai “pencuri” tetapi di Malaysia pencuri digelarkan “perdana menteri”.

Fakkah memohon maaf diatas lawaknya itu.

Bagaimanapun, Seniman berpandangan permohonan maaf Fakkah perlu dirakam dan diviralkan supaya orang ramai sedar akan kewujudkan video maaf itu.

Jelasnya, pihak persatuan pada awalnya tidak berniat untuk campur tangan tetapi berbuat demikian atas gesaan ahli-ahlinya.

Seraya dengan itu, Seniman yang mewakili 4,000 ahli menggesa Imigresen supaya menyenerai hitamkan Fakkah.

Hafiz berkata para ahli merasakan Fakkah tidak perlu menaikkan namanya dengan mengkritik perdana menteri Malaysia”.

“Pelawak perlu kreatif mengikut keadaan dan hadirin.

“Jika kamu tengok klip video Fakkah, tiada yang gelak sehinggalah dia sebut perdana menteri Malaysia.”

Persatuan akan menulis surat kepada kedutaan Malaysia di Singapura sekiranya tiada tindakan diambil.

“Ini adalah perkara yang serius kerana ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara dua negara.”