Singapura untung besar skandal jiran, Brexit

brexit

Petaling Jaya: Sektor teknologi kewangan di Singapura bakal meraih keuntungan besar kesan daripada keputusan Britain keluar dari Kesatuan Eropah, atau Brexit, bulan lalu, lapor Reuters.

Kini, negara yang semakin berkembang sebagai hab kewangan dunia itu mendapat perhatian kira-kira 60,000 firma teknologi kewangan di London dengan nilai AS$9 bilion, dan trend sedemikian dijangka meningkat berikutan pungutan suara Britain itu.

Laporan itu turut menyebut kepesatan industri teknologi kewangan di Singapura ditambah dengan skandal pengubahan wang di Malaysia, dan juga di kala pihak berkuasa Indonesia giat mengesan wang yang disimpan oleh rakyatnya di Singapura bagi mengelak cukai.

Ia dipercayai merujuk kepada transaksi melibatkan syarikat milik negara 1MDB, yang dikaitkan dengan beberapa siasatan antarabangsa.

Singapura sebelum ini mendakwa pegawai bank BSI Bank cawangan Singapura dengan pengubahan wang haram ekoran siasatan berkait transaksi 1MDB.

Bank tersebut diarahkan tutup pada Mei lalu.

Reuters melaporkan firma teknologi kewangan di Singapura tidak tetakluk dengan undang-undang ketat.

Mana-mana syarikat boleh menjalankan operasi sistem e-pembayaran dan e-wallet tanpa kebenaran pihak berkuasa.