Umno terima perletakan keahlian Shafie – Ku Nan

ku-nan-shafie-apdal-1

PETALING JAYA: Umno menerima keputusan Naib Presiden yang digantung, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meletakkan keahliannya, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Malah katanya, mana-mana orang yang ingin tinggalkan Umno dipersilakan berbuat demikian kerana parti hanya mahukan ahli yang bertanggungjawab, setia dan boleh dipercayai.

“Kita hanya perlu padam namanya (Shafie) daripada senarai ahli,” kata Tengku Adnan kepada Bernama, dan menjelaskan peraturan Umno menyatakan keahlian seseorang tergugur apabila mengisyitharkan keluar parti.

Kepada pemberita Tengku Adnan tidak dapat mengagak mengapa Shafie memilih untuk keluar parti, samada kecewa digugurkan daripada Jemaah Menteri atau sebab-sebab lain.

“Sekiranya dia sayang parti, dia perlu kuasai perasaannya; banyak masalah boleh berlaku (jika tidak dapat kuasai perasaan),” ujarnya.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu digugurkan dari Jemaah Menteri bersama Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Julai tahun lepas.

Di Semporna awal hari ini, Shafie mengumumkan keluar daripada Umno selepas keanggotaannya digantung majlis tertinggi parti 24 Jun lalu.

Keahliannya digantung sehingga jawatankuasa disiplin parti menjelaskan hasil laporan berkaitan pelanggaran disiplin. Penggantungan itu serentak dengan pemecatan Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas tuduhan sama.