Zunar tak setuju Fakkah minta maaf lawak ‘PM = Pencuri’

zunar-fakah

PETALING JAYA: Pelawak Singapura Fakkah Fuzz tidak perlu memohon maaf berikutan jenakanya yang menyamakan perkataan “pencuri” dengan perdana menteri, kata kartunis politik Zulkifli Anwar Ulhaque.

Sebaliknya, Zulkifli atau lebih dikenali Zunar berkata masalah utama adalah persepsi terhadap perdana menteri sendiri.

“Jika persepsi terhadap perdana menteri tidak diselesaikan akan ada lebih banyak bentuk sindiran dan kutukan akan dibuat terhadap perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, apa yang dilakukan Fakkah adalah satira dan bukannya kritikan biasa.

“Dia (Fakkah) perlu terus menghasilkan karya seperti itu. Apa yang dia lakukan itu bukan satu kesalahan. Jadi dia sepatutnya perlu hasilkan lebih banyak karya yang berbentuk sindiran dan satira seperti itu,” kata Zunar, yang terkenal dengan karya kartun berupa sindiran terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, kepada FMT.

Fakkah sebelum ini dikecam hebat Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal selepas klip pertunjukannya yang dilihat menyindir Najib menjadi viral.

Dalam klip tersebut, Fakkah membuat perbandingan beberapa istilah Melayu di Singapura dan Malaysia.

Beliau kemudian berkata perkataan “thief” bagi Melayu Singapura ialah “pencuri”, tetapi di Malaysia, ia juga disebut “perdana menteri”.

Walaupun Fakkah meminta maaf dan berkata tidak berniat menghina sesiapa, Zainuri menganggap ia tidak memadai, malah mahu Fakkah disekat daripada memasuki Malaysia.

Zunar berkata menghalang Fakkah masuk Malaysia adalah tidak demokratik.

“Lagipun kritikan itu dibuat dalam bentuk satira dan bukan dalam bentuk yang kritikan keras atau secara ucapaan. Tidak wajar sekali,” kata Zunar.