Agong adakan istana terbuka Aidilfitri esok

rumah-terbuka-istana-negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis istana terbuka Aidilfitri di Istana Negara, di sini pada hari raya pertama, esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wira Awang kecik Abdul Rahman dalam kenyataan semalam berkata majlis itu akan diadakan dari 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan beramah mesra dan bersalaman dengan para tetamu selama sejam mulai 11 pagi.

“Istana Negara dengan sukacitanya mengalu-alukan semua tetamu untuk datang bersama-sama memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri ini,” katanya.

Beliau berkata para tetamu dinasihatkan berpakaian kebangsaan ataupun pakaian sopan sewajarnya, dan turut meminta mereka untuk masuk melalui Gerbang Utama Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama jemaah menteri turut mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada sama yang sama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM), bagi memudahkan orang ramai ke rumah terbuka tersebut bas secara percuma disediakan dari tiga lokasi di Putrajaya iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra.

“Orang ramai boleh meletakkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut untuk menaiki bas yang disediakan dengan kekerapan setiap 20 minit,” katanya.

Di Perlis, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mengadakan istana terbuka Aidilfitri di Istana Arau bermula 10 pagi hingga 2 petang.

Di Perak, majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Ipoh dari 2.30 petang hingga 6 petang.

Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengadakan istana terbuka Aidilfitri di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah bermula 10 pagi hingga 2 petang.

Di Johor, Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin pula akan mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru dari 10.30 pagi hingga 3 petang.

Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Astana Negeri dari 10.30 pagi hingga 1 petang, dan dari 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Sementara itu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching dari 10.30 pagi hingga 4 petang.

Di Pahang, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan mengadakan istana terbuka Aidilfitri di Istana Abdul Aziz, Kuantan dari 10 pagi hingga 1 petang.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob pula mengadakan rumah terbuka di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan bermula 10 pagi hingga 3.30 petang.

Di Terengganu, Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman pula akan mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Sri Iman, Kuala Terengganu bermula 11 pagi hingga 3 petang.

Di Sabah, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin akan mengadakan rumah terbuka di Istana Negeri Kota Kinabalu mulai jam 8 pagi hingga 2 petang.

Sementara itu, sempena Hari Raya kedua, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang juga Sultan Kedah bersama Tuanku Hajah Haminah berkenan menghadiri istana terbuka Aidilfitri di Istana Anak Bukit, Alor Setar bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud menganjurkan rumah terbuka kali kedua di Astana Negeri dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Adenan juga mengadakan rumah terbuka kali kedua di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), Kuching dari jam 10.30 pagi hingga 4 petang.

Di Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menganjurkan majlis sama di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Pada Sabtu ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Sri Satria, Putrajaya, bermula 3.30 petang hingga 7 malam.

Kerajaan negeri Selangor juga mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Padang MPAJ AU2, Jalan AU2, Taman Sri Keramat Hulu Kelang, Gombak dari 10 pagi hingga 3 petang.

Pada Ahad pula, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan rumah terbuka di No 1, Kampung Tanjung Rantau, Negeri Sembilan dari 10 pagi hingga 5 petang.

Di Melaka, Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula 10.30 pagi hingga 5 petang.

Pada 13 Julai ini, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas mengadakan majlis sama di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang, bermula jam 4.30 petang hingga 6.30 petang.

Pada 14 Julai, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar, mulai 10 pagi hingga 5 petang.

Di Perlis, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Kangar bermula 12 tengah hari hingga 4.30 petang.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pula akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kampung Alor Pasir, Pasir Pekan, Tumpat bermula 9 pagi hingga 3 petang.

-BERNAMA