Ajak masuk Islam selepas ‘kafir harbi’ memalukan, kata Amanah

Ahmad-Awang_Abdul-Rahman-Osman_600

PETALING JAYA: Amanah hari ini menganggap tindakan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang menjemput Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memeluk Islam sebagai bertentangan dengan cara dakwah Islam.

Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang berkata ia lebih-lebih lagi selepas kontroversi “kafir harbi” yang dicetuskan Abdul Rahman.

“Kalau sudah mengajak bergaduh dengan menimbulkan isu kafir harbi, selepas itu nak mempelawa masuk Islam, itu bukan cara Islam,” kata Ahmad kepada FMT.

“Kalau sebelum kita ajak masuk Islam kita sudah tunjukkan wajah yang hodoh seperti berkasar, macam mana nak tarik minat mereka untuk masuk Islam.”

Abdul Rahman semalam menjemput Kit Siang dan Guan Eng memeluk agama Islam demi perpaduan.

“Tidak akan ada huru-hara dan kita juga boleh menumpukan kepada pembangunan,” kata Abdul Rahman semalam.

Sebelum ini, kenyataannya melabel DAP dan golongan menentang pelaksanaan hudud sebagai “kafir harbi” (golongan memerangi Islam) mengundang kecaman pelbagai pihak.

Ahmad menasihatkan Abdul Rahman berfikir panjang sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Dia banyak keluarkan kenyataan yang bercanggah dengan cara Islam. Saya kesian. Harap-harap dia berfikir panjang sebelum keluarkan kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata tindakan Abdul Rahman itu tidak sihat dan menimbulkan persoalan mengenai kaedah Islam.

“Banyak lagi cara lain yang boleh dicontohi misalnya cara Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik orang bukan Islam untuk meminati Islam. Kalau tidak dapat tarik pun dapat mendekatkan mereka dengan Islam, mereka memahami dan menghormati Islam sudah baik.

“Tetapi apa yang dilakukan Mufti Pahang sebaliknya,” kata pemimpin Amanah itu.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir menasihatkan Abdul Rahman memohon maaf dan menarik semula kenyataan kafir harbi yang sebelum ini mencetuskan kontroversi itu.

“Mufti Pahang perlu belajar lagi dan berhenti keluar kenyataan. Jika dibiarkan Islam akan rosak,” katanya.