Anwar: Selepas Guan Eng, giliran bekas pemimpin Umno

anwar

PETALING JAYA: Sambil melahirkan rasa terkejut dengan pendakwaan rasuah ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bekas pemimpin Umno akan turut dihadapkan ke mahkamah.

“Saya yakin serangan seperti ini tidak akan berhenti dengan Lim Guan Eng sahaja tetapi akan diperluas kepada pimpinan lain, malah mungkin juga dari kalangan bekas pimpinan Umno-Barisan Nasional yang bangkit untuk berjuang demi menyelamatkan Malaysia,” kata Anwar dalam satu kenyataan daripada penjara.

Anwar berkata tindakan sedemikian tidak akan melemahkan pemimpin pembangkang.

“Pemimpin seperti Guan Eng dan ramai lagi tidak akan sesekali berundur; malah mereka akan bangkit untuk berjuang dengan lebih kuat demi demokrasi, keadilan dan urus tadbir kerajaan yang baik.”

Ia merupakan reaksi pertama Anwar sejak Guan Eng didakwa atas dua tuduhan rasuah Khamis lepas berhubung penukaran sebidang tanah pertanian kepada tujuan kediaman, dan pembelian banglo daripada ahli perniagaan Phang Li Khoon pada harga bawah pasaran.

Anwar turut membidas tindakan ke atas Guan Eng “pendakwaan keji dan bersifat politik”.

“Saya yakin beliau dan DAP akan tabah dalam menghadapi serangan terbaru ini,” kata Anwar, yang kini menjalani tahum kedua hukuman lima tahun penjara selepas disabitkan kesalahan meliwat Februari tahun lalu.