Bekas KPN: Guna pendekatan bersepadu pelbagai kementerian tangani IS

musa

PETALING JAYA: Semua kementerian kerajaan perlu mempunyai rancangan untuk menangani ancaman IS kerana polis secara bersendirian tidak mampu untuk mengesan, menangkap atau mengurang aktiviti pengganas.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata menangani ancaman IS memerlukan kesepaduan usaha semua kementerian kerajaan, terutamanya melalui pendidikan, untuk menangani ancaman dalam negara atau melibatkan warga Malaysia di luar negara.

Katanya kementerian perlu menggemblengkan usaha mencipta kesedaran berhubung IS dan penganas dalam kalangan masyarakat, sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

Musa, yang merupakan ketua polis negara daripada 2006 ke 2012, menjelaskan rakyat Malaysia secara amnya masyarakat yang aman tetapi sesetengahnya terbawa-bawa oleh isu ke arah ekstremisme, antaranya isu Palestin.

“Kita tidak patut mencabar mereka. Sebaliknya, tingkatkan usaha melalui saluran-saluran yang bersepadu dan serempak untuk memberkas saspek. Ini satu-satunya cara untuk kita berkas mana-mana saspek,” katanya.

Selain pendidikan, Musa berkata Imigresen memainkan peranan penting dalam membantu polis memantau individu-indidu yang meragukan.

“Untuk menjayakannya, polis perlu mengambil isu ini secara bersungguh dan memperincikan latar belakang mana-mana saspek dan serahkan nama mereka kepada jabatan-jabatan lain untuk dipantau,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas pengesahan serangan di kelab malam Movida di Puchong minggu lalu serangan IS pertama yang berjaya dilaksanakan di negara ini.

Serangan itu yang menyebabkan lapan orang cedera dilaksanakan oleh warga tempatan, yang menerima arahan daripada anggota IS Muhamad Wanndy Mohamad Jedi di Syria.