China didesak siap sedia berperang di Laut China Selatan
Akhbar berpengaruh milik Parti Komunis, Global Times berkata Beijing perlu bersiap sedia sebarang konfrontasi ketenteraan.
BEIJING: China perlu bersiap sedia menghadapi konfrontasi ketenteraan di Laut China Selatan, lapor sebuah akhbar berpengaruh negara hari ini, menjelang keputusan Mahkamah Antarabangsa berhubung perebutan antara Beijing dan Manila.
Keputusan bakal dibuat sebuah mahkamah timbang tara di The Hague pada 12 Julai.
Akhbar Global Times milik kerajaan menerusi lidah pengarang dalam edisi bahasa Cina dan Inggeris berpendapat, pertikaian itu dirumitkan dengan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan ia akan bertambah rumit dengan ancaman tribunal terhadap kedaulatan China.
“Washington mengerahkan dua armada pengangkut perang di sekitar Laut China Selatan dan ia mahu menghantar isyarat sedang bersiap sedia: Sebagai kuasa terbesar di rantau ini, ia menunggu kepatuhan China,” katanya.
Sehubungan itu, akhbar itu berpendapat Beijing perlu meningkatkan kebolehan pencegahan ketenteraannya.
“Walaupun China tidak mampu menyaingi ketenteraan AS dalam jangka pendek, ia sepatutnya boleh membiarkan AS menanggung akibatnya jika ia campur tangan perebutan di Laut China Selatan menggunakan kekerasan.
“China berharap perebutan itu boleh diselesaikan melalui rundingan, tetapi ia perlu bersiap sedia untuk sebarang konfrontasi ketenteraan. Ia munasabah dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Global Times diterbitkan akhbar induk, People’s Daily milik parti pemerintah, Parti Komunis dan mempunyai ramai pembaca di kalangan pembuat dasar tetapi ia tidak mempunyai fungsi sebaran seperti akhbar induknya.
China yang berang dengan rondaan Amerika di Laut China Selatan akan mengadakan latihan ketenteraannya di perairan itu mulai esok.
China Daily pula memetik Kementerian Pertahanan China sebagai memaklumkan ia adalah latihan ketenteraan rutin.
Pegawai Amerika bimbang keputusan mahkamah di Belanda itu bakal mendorong Beijing mengisytiharkan zon pengenalan pertahanan udara seperti yang pernah dilakukan Beijing ke atas Laut China Timur pada 2013.
China Daily memetik sumber tidak dikenal pasti sebagai berkata, tindak balas China “bergantung sepenuhnya” kepada Filipina.
“Tiada insiden akan berlaku jika semua pihak berkaitan mengetepikan keputusan timbang tara itu,” satu daripada sumber memberitahu akhbar itu.
“China tidak pernah memulakan ketegangan serantau,” menurut satu lagi sumber.
Setiap tahun, perdagangan kapal bernilai kira-kira $5 trilion melalui perairan strategik yang kaya dengan tenaga di Laut China Selatan, kawasan perebutan Beijing yang turut bertindih dengan Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram