IS tidak semestinya serang tempat tumpuan ramai

rahim-jaafar_movida_bom_600

PETALING JAYA: Letupan bom di pusat hiburan Movida, Puchong minggu lalu menunjukkan sasaran pengganas IS di Malaysia tidak hanya memfokuskan kawasan tumpuan orang ramai, sebaliknya mereka turut menyasarkan pusat hiburan yang tidak ramai pengunjung.

Ini kerana, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar pernah berkata pusat hiburan yang terletak bersebelahan Movida mempunyai pelanggan lebih ramai (10 kali ganda lebih ramai daripada Movida).

China Press memetik seorang pegawai kanan Bahagian Counter Terrorism di Cawangan Khas Bukit Aman sebagai berkata, hujah itu tidak lagi wujud dan polis sedang menyiasat cara pengganas memilih sasaran mereka.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek anggota IS yang ditahan minggu lalu julung kali melancarkan serangan dan tidak begitu berani, oleh itu mereka memilih pusat hiburan yang kurang pengunjung supaya senang melarikan diri.

Beliau juga berpendapat, suspek tidak pernah menerima latihan ketenteraan biasa.

“Mereka tidak sama dengan anggota IS di luar negara kerana buat masa ini, anggota IS di Malaysia belum mempunyai penyerang berani mati.

“Anggota IS di luar negara menggunakan pengebom berani mati, jadi mereka akan pergi ke tempat tumpuan orang ramai untuk melancarkan serangan bagi mencapai kesan kemusnahan lebih besar dan mengejutkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay turut sependapat 15 suspek anggota IS yang ditahan minggu lalu tidak pernah menerima latihan ketenteraan daripada kumpulan pengganas kerana tidak pernah pergi ke Syria.

“Polis masih menyiasat latar belakang mereka dan cara mereka berhubung dengan kumpulan IS,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan letupan bom tangan di pusat hiburan Movida pada minggu lalu adalah serangan pertama IS di Malaysia.

Susulan itu, polis menahan 15 suspek berusia 19 hingga 52 tahun, termasuk dua anggota polis yang disyaki terbabit dalam kegiatan IS.

Empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera dalam letupan bom tangan dilemparkan dua suspek bermotosikal ke arah pengunjung yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016 di bahagian luar pusat hiburan Movida kira-kira jam 2.15 pagi, 28 Jun lalu.