Keganasan di bulan Syawal, Mujahid kecam pengganas

mujahid-rawa

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara mengutuk serangan di tanah suci orang Islam oleh pengganas.

Naib Presidennya, Mujahid Yusof Rawa dalam satu kenyataan berkata serangan itu menunjukkan pengganas layak digelar kejam dan tidak berhati perut.

“Kejadian di Masjid Nabawi dan Bandar Qatif serta Jeddah semalam dan sebelumnya di Turki dan Bangladesh serta di Puchong, Malaysia mendesak warga dunia mempertingkatkan peperangan ke atas pengganas dengan segala kemampuan yang ada,” katanya.

“Seluruh warga dunia khususnya umat Islam mengutuk serangan di tempat suci kedua bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah.”

Beliau berkata ketenangan menyambut bulan Syawal dirosakkan dengan kebencian, keganasan dan kebinatangan, sambil menambah Al-Quran mengharamkan pertumpahan darah dan mewajibkan memelihara nyawa.

“Al-Quran menyifatkan membunuh satu nyawa adalah seolah membunuh manusia keseluruhannya dan begitulah sebaliknya memelihara satu nyawa manusia seolah telah menghidupkan keseluruhan kemanusiaan,” katanya memetik surah Al-Maidah.

Beliau menggesa orang ramai supaya menolak ideologi IS dan teruskan melawan keganasan.

“Kita harus bersatu menentang ideologi keganasan dengan meyakini bahawa membudayakan kebebasan bertanggungjawab dan menghormati kemanusiaan adalah jalan ke hadapan untuk membenteras bibit-bibit keganasan selain punya pertahanan nasional tangkas yang memelihara keselamatan awam dan negara,” katanya.