Kerajaan negeri perlu dinasihati pakar, kata pendakwah

An-Nahdhoh-Mutalib-Maaro-lim

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri dinasihatkan supaya melantik penasihat khas berkenaan Islam bagi melawan naratif yang mencetuskan salah faham terhadap agama Islam, terutamanya daripada propaganda IS.

Pengerusi Yayasan An-Nahdhoh Mutalib Maarof berkata langkah ini perlu memandangkan peningkatan ancaman IS, serta isu lain berkenaan Islam yang mencetuskan pergeseran dalam hubungan antara agama di negara ini.

“Isu seperti hudud memerlukan penasihat khas dan berkelayakan, sama seperti seorang mufti.

“Penasihat ini memainkan peranan tetap menasihati kerajaan negeri.

“Kami bimbang dengan perkembangan semasa, saya dan kawan-kawan akan bantu dalam apa jua cara yang boleh,” katanya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Sebelum itu, Guan Eng menyerahkan sumbangan RM5,000 daripada kerajaan negeri kepada Yayasan An-Nahdhoh dan Maahad Ad-Da’wah Al-Islamiyyah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Guan Eng mengecam serangan berani mati di Madinah hari ini, dengan berkata serangan itu perbuatan yang keji, terutamanya di bulan Ramadan.