Ku Nan: Arca milik DBKL, berhak dimusnahkan

ku-nan-puncak-purnama

KUALA LUMPUR: Selepas dikutuk penggiat seni dan anggota keluarga seniman negara Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menjelaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memiliki penuh Arca Purnama yang dimusnahkannya baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu dipetik Bernama sebagai berkata DBKL sudah membayar pampasan kepada Syed Jamal selepas disaman kerana menaik taraf arca tersebut pada 1989.

“Arca tersebut terbiar tanpa jagaan dan penyenggaran selepas itu, dan sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab, DBKL telah menaik taraf arca tersebut pada tahun 1998 menggunakan dana DBKL, namun pereka asal arca membawa perkara ini ke mahkamah,” kata Adnan semalam.

“Lanjutan daripada itu, mahkamah telah membuat keputusan bahawa DBKL perlu
membayar pampasan kepada pereka asal, dan selepas daripada itu arca ini telah
menjadi milik penuh DBKL.”

Adnan juga mendakwa sistem pengairan arca tersebut tidak diselenggara menyebabkan nyamuk aedes membiak.

Sebelum ini, balu Syed Jamal berang dengan kenyataan Adnan yang menganggap arca hasil cipta arwah suaminya menyakitkan mata.

“Bila saya dengar menteri cakap ia sudah tidak boleh diperbaiki, kepala tok dia,” kata Datin Hamidah Mohd Noor.

“Kalau tidak faham makna arca tersebut itu jangan jatuhkan karya orang lain,” katanya pada sidang media di Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), semalam.

Puncak Purnama, yang dibina bagi memperingati manusia menjejak kaki ke bulan, diperbuat daripada kaca seramik yang dibangunkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) pada 1986, hasil kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat dan Wisma Putra, dan dibiayai UMBC yang beribu pejabat berhampiran.

Strukturnya ditukar ke besi tanpa karat pada 1996.

Sementara itu, Pengerusi LPSVN Datuk Mahadzir Lokman berkata pihaknya bercadang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan DBKL bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.