Movida bukan sasaran asal penyerang

movida_bom_600


PETALING JAYA: Pusat hiburan Movida di Puchong yang diserang dengan bom tangan pada 28 Jun lalu bukan sasaran asal pengebom, menurut New Straits Times (NST).

Ia memetik sumber sebagai berkata, pengebom sebenarnya menyasarkan sebuah pub lain berhampiran pusat hiburan itu, tetapi mendapati ia tidak beroperasi pada malam kejadian.

“Mereka kemudiannya memilih Movida yang belum menamatkan perniagaan pada hari itu dan masih mempunyai sejumlah pelanggan di dalam premis,” kata sumber itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mendedahkan dua suspek yang ditahan setakat ini terbabit secara langsung dalam letupan yang menyebabkan lapan mangsa cedera dan masih memburu dua suspek untuk membantu siasatan.

Mereka adalah antara 15 lelaki ditahan sejak hari kejadian sehingga 1 Julai lalu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Menurut NST, dua suspek itu termasuk seorang mualaf dari Sabah berusia 28 tahun meninjau tempat untuk diserang beberapa hari sebelum letupan berlaku.

Polis turut mengesahkan kedua-dua suspek itu ada berhubung dengan Muhamad Wanndy Mohamed Jedi, anggota IS warga Malaysia di Syria yang mengarahkan serangan berkenaan dilancarkan, melalui media sosial pada tahun lalu.

Akhbar itu juga berjaya berhubung dengan Wanndy sebelum akaun media sosialnya disekat, di mana dia memberi amaran serangan lebih besar akan menyusul jika kerajaan terus mengambil tindakan terhadap kumpulan pengganas.

Wanndy menggesa pihak berkuasa berhenti menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk “menghukum” anggotanya di Malaysia dan jika gagal berbuat demikian, mereka akan menggunakan SVBIED (kenderaan bunuh diri yang dilengkapi bahan letupan).

Idea itu bagaimanapun disangkal pakar anti pengganas yang berkata, anggota IS di negara ini tidak mempunyai sumber mahupun kemahiran memasang bahan letupan dalam kenderaan bagi melancarkan serangan.

Wanndy turut dilaporkan mendakwa serangan ke atas Movida “sebuah tempat maksiat yang sering dikunjungi anak muda Islam”.

Untuk membuktikan serangan itu dilancarkan atas arahannya, Wanndy menghantar sekeping gambar bom tangan M67 yang digunakan dalam letupan berkenaan kepada NST dengan mendakwa pengebom memberi gambar itu kepadanya sebelum serangan.

Letupan bom itu berlaku kira-kira jam 2.15 pagi 28 Jun lalu ketika pengunjung menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016 di luar pusat hiburan Movida menyebabkan empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera.