Papan tanda ‘kepung’ pusat Ahmadiah demi jaga akidah, kata Mais

qadiani

KUALA LUMPUR: Kewujudan papan tanda “Qadiani Bukan Agama Islam” di sekeliling pusat komuniti penganut aliran itu di Batu Caves adalah demi menjaga akidah umat Islam, menurut Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Beliau berkata papan tanda itu supaya umat Islam mengenali identiti penganut aliran itu dan seterusnya tidak terpengaruh dengan mereka.

Beliau bagaimanapun mengakui papan tanda tersebut boleh mengganggu penganut aliran itu, terutama yang tinggal di situ.

“Tetapi jika tidak berbuat demikian, ia boleh merosakkan akidah orang Islam lain. Ini kerana kita tidak boleh mengenali siapa mereka,” katanya kepada FMT.

Dalam satu wawancara bersama FMT minggu lalu, pemimpin komuniti Ahmadiah Malaysia, Ainul Yaqeen Sahib, berkata kewujudan papan tanda tersebut bertujuan merosakkan pemikiran penganutnya, terutama golongan kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim juga mempertahankan papan tanda itu, dan berkata ia agar masyarakat faham mengenai Ahmadiah.

“Ia lebih kepada peringatan kepada umat Islam lain, bukan untuk mengganggu mereka,” katanya yang enggan mengulas sama ada ia berisiko mengundang serangan daripada pihak luar.

Pusat komuniti Ahmadiah yang dinamakan Baitussalam wujud di Kampung Nakhoda, Batu Caves sejak 1950-an.

Walaupun Ainul menyifatkan masyarakat sekitar sudah boleh menerima kewujudan mereka di sana, beliau bimbang melihat insiden serangan umat Islam terhadap pengikut Ahmadiah di Indonesia dan Pakistan.

Aliran ini difatwakan keluar daripada Islam pada 1975, namun penganutnya tetap tertakluk di bawah jabatan agama.

Misalnya, Mais pada 2009 mengarahkan mereka tidak lagi mengadakan solat Jumaat di Baitussalam.

Mengulas lanjut, Haris berkata undang-undang syariah menerusi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 bertanggungjawab terhadap mana-mana individu atau gerakan yang mengaku Islam tetapi tidak mengikut syarak.

“Undang-undang syariah terpakai selagi mereka itu mengaku sebagai Islam. Dan enakmen 2003 tersebut khusus untuk mereka yang mengaku beragama Islam tetapi menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya lagi.