PAS: Serangan IS jejas keyakinan terhadap polis

tuan-man

PETALING JAYA: PAS hari ini berkata pendedahan yang letupan bom di sebuah kelab malam di Puchong minggu lalu sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap polis.

“PAS berharap Ketua Polis Negara dan PDRM dapat mengambil penambahbaikan segera, memperbaiki segala kelemahan dalam pemantauan dan membuat persediaan terbaik agar pasukan sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam membendung IS daripada terus melakukan kerosakan kepada negara,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, merujuk kumpulan militan IS yang sejak kebelakangan ini melancarkan siri serangan di beberapa buah negara.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan 15 orang yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas itu, selepas siasatan terhadap insiden itu.

Pada 28 Jun, lapan pengunjung restoran cedera selepas bom tangan dibaling dua lelaki bermotosikal di hadapan IOI Boulevard, Puchong.

Tuan Ibrahim mengingatkan umat Islam menghindari IS dan kumpulan pelampau lain.

“Islam diturunkan untuk membawa misi penyelamat, samada kepada individu atau negara.

“Bahkan semua agama melarang sikap kelampauan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak bergopoh-gapah dan mengambil jalan mudah dalam melaksanakan Islam.

“Mereka yang inginkan kemenangan yang cepat akan bertindak secara agresif dan meminggirkan segala hukum larangan Islam sehingga menimbulkan gambaran yang salah terhadap Islam.”