Penganjur tak pasti identiti ‘polis’ batal majlis buka puasa gereja

Syed Azmi

PETALING JAYA: Penganjur majlis berbuka puasa antara agama di sebuah gereja di sini mengakui pihaknya tidak meminta pengenalan diri anggota “polis” yang hadir mengarahkan pembatalan acara itu Jumaat lalu.

Aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi berkata, bagaimanapun berkata pihak gereja Church of Assumption di Jalan Templer itu percaya yang hadir mengarahkan membatalkan program itu adalah “polis”.

“Gereja ini mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan jika polis mahu mendapatkannya untuk tujuan siasatan, saya rasa mereka boleh menghubungi gereja.

“Sama ada ia kes menyamar, terpulang kepada pihak polis menyiasat. Bagi saya dan pihak penganjur, kami hanya gembira jika bantuan diperlukan. Jika tidak, ia juga ok,” katanya dalam kiriman Facebook.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan polis mengarahkan gereja itu membatalkan majlis itu.

Khalid turut melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan ada yang menyamar sebagai anggota polis bagi mengelirukan pihak gereja supaya membatalkan acara itu dan mempersalahkan pihak berkuasa.

Program itu bertujuan menyambut kepelbagaian dan berkongsi pengalaman berpuasa antara umat Islam dan Kristian, ketika penganut Katolik turut berpuasa selama 40 hari sebelum Easter.

Dua anggota polis dilaporkan tiba di gereja itu memberi amaran ada individu atau kumpulan yang menimbulkan masalah jika program berkenaan diteruskan.

Syed Azmi berkata penganjur menghormati polis dan terus menerima amaran itu.

“Sentiasa akan memberikan kerjasama yang penuh. Kerana jika anda tidak berasalah, mengapa anda perlu takut,” katanya.

Beliau pada masa sama turut peserta Islam dan Kristian yang hadir pada program itu memilih menjadi insan yang lebih baik dan tidak berniat memanjangkan isu itu.

“Masalahnya bukan kita tetapi hanya minoriti (Islam dan bukan Islam) menyuarakan kebimbangan mereka,” jelasnya.