Polis: Kes bunuh Bill Kayong selesai, senjata diperoleh

bil-kayong-1

PETALING JAYA: Polis yakin kes pembunuhan aktivis PKR Bill Anak Kayong berjaya diselesaikan susulan pengakuan saspek dan perolehan senjata yang digunakan dalam jenayah itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak mengakui polis masih lagi mengesan beberapa saspek yang masih bebas, namun bagi yang ditahan hanya menanti masa untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Dengan tangkapan saspek-saspek ini dan rampasan senapang patah, kita yakin kes pembunuhan Bill Anak Kayong berjaya diselesaikan.

“Usaha-usaha masih lagi berjalan untuk mengemaskini siasatan dengan tujuan menuduh saspek-saspek yang terlibat di Mahkamah,” kata Datuk Manzlan Mansor dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, saspek antara 5 lelaki dan 1 wanita dalam lingkungan umur 22 dan 41 tahun yang ditahan dalam satu operasi pada 30 Jun dan 1 Julai lalu.

Pengakuannya membawa kepada penemuan senapang patah dan beberapa butir peluru termasuk satu kelongsong yang disembunyikan di rumahnya di Jalan Hai Nam Lama, Miri, dipercayai digunakan untuk menembak Bill.

Pada 21 Jun lepas lebih kurang 8.15 pagi, Bill ditembak mati ketika menunggu dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat pasaraya E-Mart di Tudan, Miri. Hasil bedah siasat dan siasatan forensik keatas kenderaan mangsa mendapati saspek menggunakan senapang patah jenis shotgun.

Bill ditembak sekali di lehernya.

Menurut Mazlan, tiada saksi yang menyaksikan kejadian tampil ke hadapan membantu siasatan, dan tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian yang merekodkan jenayah itu.

“Dari mulanya, pihak polis telah menghadapi cabaran untuk menyelesaikan kes ini,” tambahnya.

“Butir-butir lanjut tentang saspek-saspek yang masih bebas belum dapat didedahkan pada masa ini.”

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penubuhan kumpulan siasatan khas susulan pembunuhan ini yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar, dengan bantuan kepakaran daripada JSJ Bukit Aman.